Cabang iman itu banyak jumlahnya. Ini sebagaimana disebutkan dalam hadis ada lebih dari enam puluh atau tujuh puluh cabang. Iman yang paling tinggi adalah memahami kalimat tauhid lailahaillallah, manakala yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalanan.
Di antara cabang keimanan yang paling tinggi setelah kalimat tauhid adalah mendirikan solat. Ini bersesuaian juga dengan tahapan kedudukannya dalam rukun Islam. Mendirikan solat bukan sekadar perbuatan, tetapi perlu dengan keimanan, penghayatan, perkataan, ilmu, dan kesungguhan.
Berdasarkan dalil-dalil yang sahih, ditunjukkan bahawa solat memiliki nilai kedudukan yang tinggi. Antaranya ia menjadi pembeza di antara kafir dan Islam sekali gus menunjukkan agama tidak akan tertegak jika ia ditinggalkan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)
Selain sebagai tanda keimanan dan keislaman, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga menjadikannya termasuk di antara tanda-tanda kejayaan dan asas-asas kebahagiaan. ALLAH SWT berfirman, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, 23: 1-2)
Maka dari sini menunjukkan bahawa amalan solat itu amat penting kepada umat Islam. Ia menjadi nadi keimanan, tiang agama, dan asas-asas utama sebuah kejayaan.
Solat ikut Nabi
Di antara ciri utama solat yang sempurna adalah dengan mengikuti sifat solatnya Rasulullah SAW. Kerana tatacara solat ini tidak dapat diketahui dan dipelajari melainkan dengan melihat kepada praktik solat Rasulullah. Beliau SAW bersabda, “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 3/7, no. 595)
Bagi melaksanakan tuntutan hadis ini pada hari ini, tidak dapat tidak, kita mesti melihatnya melalui penjelasan yang disampaikan oleh hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih.
Pernahkah kita terfikir, “Sejauh manakah solat yang kita praktikkan pada hari ini menepati tatacara sifat solat Nabi dan para sahabatnya?” “Adakah yang kita amalkan selama ini benar-benar menepati sunnah Rasulullah?”
“Apa dalil dan landasannya?” “Kenapa adakalanya solat yang kita laksanakan berbeza dengan tatacara solat orang yang lain? Ada yang begitu, dan ada yang tidak begini?” “Kalau solat dilaksanakan begini sahkah? Apa buktinya?” “Kenapa praktik solat mazhab A berbeza dengan praktik solat Mazhab B?”
Maka, apa tindakan kita terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini?
Sebenarnya ALLAH SWT telah memberikan jalan keluar kepada perselisihan dan keraguan ini sebagaimana firman-NYA:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah ALLAH dan taatilah Rasul (NYA), dan ulil amri di kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada ALLAH (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan hari kemudian. Ini lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah an-Nisaa’, 4: 59)
Pada hari ini, buku-buku atau kitab-kitab yang menjelaskan tentang tatacara sifat solat Rasulullah berdasarkan hadis-hadis yang sahih telah banyak diterjemahkan dan beredar di pasaran serta boleh pula dimuat turun percuma dari internet. Inilah antara nikmat Allah kepada kita dengan memudahkan proses meraih ilmu.
Antara buku atau kitab terbaik dalam bab ini adalah seperti karya seorang ulama hadis kontemporari Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H). Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia dengan judul, Sifat Solat Nabi.
Selain itu, para pembaca juga boleh mendapatkan bantuan dari para ilmuan untuk mendapat lebih penjelasan sekiranya perkara ini sukar difahami. Adalah termasuk perintah ALLAH SWT supaya kita bertanya kepada para ulama dan orang-orang yang mengetahui tentang al-Quran dan al-Hadis apabila kita tidak mengetahuinya. ALLAH SWT berfirman, “... maka bertanyalah kepada orang-orang yang memiliki pengetahuan (tentang al-Quran dan as-Sunnah) jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, 16: 43)
Termasuk kefahaman dari ayat ini juga, adalah menjadi tanggungjawab bagi para ulama dan ilmuan supaya menjelaskan dan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadis. Iaitu bukan sekadar pendapat yang diada-adakan sendiri tanpa dalil yang jelas.
Tidaklah nanti praktik solat kita ini bila timbul persoalan, maka kita hanya tahu menyandarkannya kepada si fulan, ustaz fulan, dan kitab fulan. Maka kelak nanti akan timbul gejala kepuakan dan perselisihan disebabkan masing-masing melaksanakan agamanya berdasarkan idea si fulan dan tokoh si fulan. Sedangkan Rasulullah SAW meminta kita merujuk kepadanya. Dan ini tidak dapat dilakukan melainkan berdasarkan kemampuan, ilmu, dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Dan perkara ini bersesuaian dengan wasiat para imam mazhab yang empat termasuk Imam asy-Syafii rahimahullah sendiri.
Kata Imam asy-Syafii (Wafat: 204H), “Tidak ada seorang pun melainkan ia wajib bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apa jua aku ucapkan atau tetapkan tentang sesuatu (ushul), sedangkan ucapanku itu bertentangan dengan sunnah Rasulullah, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah SAW, dan demikianlah ucapanku (dengan mengikuti sabda Rasulullah).” (Disebutkan oleh Ibnul Qayyim dalam I’lam al-Muwaqq’in, 2/286)
Jadi, apabila para ulama besar seperti imam asy-Syafii sendiri telah menyatakan demikian, maka tidak patut lagi ada alasan bagi kita untuk mengambil enteng persoalan agama ini terutamanya isu-isu berkaitan solat selaku amalan terbesar sebagai seorang Muslim. Tidak bolehlah kita hanya memberi alasan aku ikut mazhab si fulan, aku ikut mazhab imam ini, dan aku ikut ustaz si fulan. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui apa dalil yang menjadi pijakan kita di sebalik perbuatan mengikuti mereka.
Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H) pernah menegaskan, “Tidak halal bagi seorang pun mengikuti perkataan kami apabila ia tidak tahu dari mana kami mengambil sumbernya.” (Ibn ‘Abidin, Hasyiah al-Bahri ar-Ra’iq, 4/293 – Dinukil dari Shifah ash-Sholah oleh al-Albani)
Maka, bukalah minda, tuntulah ilmu, dan perbaikilah solat-solat kita. Jangan jadikan perbezaan yang ada pada hari sebagai alat perselisihan dan medan perdebatan. Sebaliknya ambillah perbezaan dengan sikap insaf dan muhasabah diri, iaitu dengan mengembalikannya kepada dalil-dalil yang jelas, iaitu dalil-dalil yang menyatukan kita. Jadikan khazanah tinggalan imam-imam mazhab dan ilmu-ilmu para ulama silam sebagai pedoman untuk mencari pegangan yang terbaik dalam setiap perselisihan.
Pastikan sumbernya jelas, rujukannya diketahui, dan dalil-dalilnya boleh diterima pakai. Prinsip ini sekali gus membantu kita untuk mencapai kesempurnaan dalam agama bukan sekadar dalam persoalan solat, tetapi juga isu-isu yang lainnya. Insya-Allah kita akan menjadi lebih terbuka dan tenang kerana memahami pokok pangkal kepada setiap perbezaan dan permasalahan dengan jalan yang betul. Wallahualam.
* Biro Mulimedia & Penerbitan Sekretariat iLMU.
No comments:
Post a Comment
SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..