CERITA TERBARU

Friday, 9 December 2011

Isteri dimadu layak mohon bantuan RM500

BACHOK 9 Dis. - Semua isteri yang dimadukan dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,000 berhak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 bagi meringankan beban keluarga.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, bantuan tersebut akan disalurkan kepada isteri-isteri terbabit kerana mereka yang menguruskan keluarga masing-masing.

Beliau berkata, lelaki atau wanita bujang yang menanggung keluarga kerana ibu dan ayah sudah meninggal dunia juga layak memohon bantuan tersebut.

"Isteri pertama, kedua hingga keempat juga berhak mendapatkan bantuan itu dengan mengisi borang yang disediakan dan di negeri Kelantan ia perlu disahkan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keamanan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan masing-masing.

"Bagi golongan bujang yang tidak berkahwin tetapi mempunyai tanggungan adik-beradik terutama keluarga yatim piatu, juga berhak mengemukakan permohonan untuk menerima agihan wang yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, mereka yang keseorangan tanpa isteri (bujang) dan lain-lain tanggungan tidak berhak menerimanya. Namun, ibu tunggal dan bapa tunggal termasuk warga emas yang berumur 60 tahun ke atas berhak menikmati manfaat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (TEKUN) berjumlah hampir RM400,000 kepada 40 usahawan di Dewan Haji Hussin, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus TEKUN Parlimen Bachok, Zailani Ya.

Awang Adek berkata, semua JKKKP sudah diberi taklimat khusus untuk melicinkan pengurusan agihan borang dan diminta mempermudahkan pengesahan kepada semua pemohon tanpa mengira fahaman politik.

Katanya, pemberian bantuan itu tidak boleh dijadikan isu politik kerana pelaksanaannya akan dibuat secara telus dan adil tetapi ia dibuat menerusi JPP dan JKKKP bagi melicinkan pengurusan di negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang.

"Ini adalah usaha Kerajaan Persekutuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah sebagaimana yang dijanjikan dalam pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini

"Kerajaan juga sudah melunaskan tanggungjawab menyalurkan bantuan persekolahan berjumlah RM100 kepada setiap pelajar baru-baru ini," katanya.

p/s: selepas ini..jangan pula ada yang minta dimadukan....

No comments:

Post a Comment

SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2011@2012 all right reserved by muhammad yamaluddin@diari hatiku