Kehebatan Jaclyn Victor menyampaikan lagu ‘Sedetik Lebih’ yang dipopularkan oleh Anuar Zain sebelum ini memang tidak boleh disangkal. Jaclyn punya cara tersendiri menghidupkan ‘roh’ lagu ini sehingga penonton di Sri Pentas 2 terpukau dengan kehebatan vokalnya. Begitu juga dengan penonton di rumah. Pabila ‘Sedetik Lebih’ diumumkan layak ke Anugerah Juara Lagu 26 (AJL 26), ramai peminat menarik nafas lega. Apa tidaknya, sebelum itu ramai yang tidak yakin ada penyanyi lain yang boleh menyanyikan lagu ini.
“Saya memang tidak boleh menyanyi sama seperti Anuar Zain. Tetapi saya cuba buat yang terbaik. Saya rasa berbesar hati dan bangga apabila Edry bagi kepercayaan kepada saya untuk bawakan lagu ini. Memang saya rasa agak tertekan sedikit kerana ini lagu baru. Kalau lagu lama yang dirakam semula, saya tidak begitu risau kerana selalunya peminat boleh menerima.
Selain itu, saya juga bimbang akan rosakkan lagu ini. Maklumlah, lagu ini sangat diminati ramai serta dinyanyikan oleh bukan calang-calang penyanyi. Mungkin sebab itu Edry suruh saya rahsiakan tentang pemilihan saya. Dia tidak mahu saya berasa tertekan sehingga boleh menjejaskan persembahan saya pada malam ini (Jumaat),” ujar Jacyln.
Memandangkan ‘Sedetik Lebih’ dan ‘Beribu Sesalan’ sama-sama mara ke AJL 26. Jaclyn turut ditanya sama ada dia akan memilih salah satu lagu untuk diberi perhatian. Mungkinkah Jaclyn akan mengutamakan ‘Beribu Sesalan’ kerana lagu ini memang digubah khas untuknya, Ning Baizura dan Shila Amzah?
“Saya tidak boleh pilih salah satu lagu sahaja. Lagipun, kedua-dua lagu itu berbeza. Satu lagu saya hanya perlu nyanyi seorang dan satu lagi saya kena berduet dengan dua orang penyanyi yang mempunyai vokal berbeza. Bagi saya dua-dua lagu susah. Untuk duet, saya kena mencari keserasian ketika berada di pentas supaya tidak ada penyanyi yang tenggelam. Manakala untuk solo, saya kena pastikan penghayatannya sampai.
Selepas ini saya akan berbincang dengan Ning dan Shila untuk membahagikan masa latihan. Mereka pun baru tahu saya yang menyanyikan lagu ‘Sedetik Lebih’ itu. Saya rasa mereka tidak ada masalah atau berkecil hati. Saya bukan sengaja merahsiakan daripada mereka tetapi menghormati permintaan Edry yang mahu merahsiakannya,” ujar Jaclyn mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..