SEPANJANG menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah, Sara Vornamen yang kini berumur 29 tahun kerap menjadi bahan ejekan rakan-rakan kerana ketinggiannya yang hanya 152 sentimeter.
Pelbagai gelaran menghina seperti pendek diberikan kepadanya dan ejekan itu berterusan sehingga wanita berkenaan memasuki alam pekerjaan sebagai seorang peguam.
Walaupun pengalaman itu turut dikongsi mereka yang mempunyai ketinggian rendah tetapi Vornamen mengambil keputusan nekad untuk melalukan sesuatu yang dramatik bagi mengubah hidupnya.
Berbekalkan tekad itu, beliau mendaftar diri di sebuah hospital ribuan kilometer dari Britain di sebuah kawasan terpencil di Siberia untuk menjalani pembedahan.
Pembedahan kosmetik yang pada era perubatan moden terkini masih dianggap kontroversi itu melibatkan pemotongan tulang kaki untuk menambahkan ketinggian pesakit.
Bagi Vornamen, impiannya tercapai dan kini dia memiliki lebih keyakinan diri selepas berjaya menambah ketinggian sebanyak 7.6 sentimeter.
Berikutan sebab tersebut, klinik di bandar Kurgan, di kawasan paling terpencil di Eropah Timur menjadi terkenal dengan teknik pembedahan kerangka Ilizarov yang menjanjikan penambahan ketinggian sehingga 30.48 sentimeter.
Sejak sedekad lalu, sebanyak 10,000 pesakit, kebanyakannya dari negara maju termasuk Britain, Australia dan Mesir membanjiri hospital yang mendapat jolokan ‘kilang panjangkan kaki’ itu.
Di dalam bilik pembedahan di hospital itu, senarionya tidak ubah seperti sebuah bilik penyiksaan dengan tulang kering pesakit dipatahkan dan disambungkan dengan menggunakan pin besi.
Teknik itu membentuk satu acuan dan menggunakan jejari besi dari sebuah kerangka besi yang menembusi daging untuk membetulkan kedudukan tulang.
Berbanding teknik konvensional yang merapatkan kedua-dua bahagian tulang supaya tulang baru dapat tumbuh dan menyambung bahagian yang patah, Kerangka Ilizarov merenggangkan lagi dua bahagian tulang itu.
Dengan menghalang hujung tulang patah bersambung, badan manusia akan menghasilkan sel-sel tulang baru untuk menyambung bahagian yang patah.
Pada setiap hari, ketika tulang baru mula terhasil, bahagian yang patah itu akan direnggangkan lagi.
Melalui proses itu, pakar-pakar pembedahan dapat memanjangkan tulang kaki sehingga hampir 5 sentimeter hanya dalam tempoh sebulan.
Mereka tidak lokek membayar sehingga £75,000 (RM483,000) dan menahan kesakitan selama setahun semata-mata kerana ingin menambahkan ketinggian beberapa sentimeter.
No comments:
Post a Comment
SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..