Punca1. Keturunan
Tidak dinafikan sikap panas baran boleh diwarisi daripada keluarga. Jika ayahnya seorang yang panas baran, dia akan membesar dalam persekitaran yang negatif. Faktor ini mendorong seseorang untuk menjadi panas baran. Pun begitu, ia bukanlah satu alasan. Kamu perlu mencari jalan penyelesaian bagi membendung sikap negatif ini daripada terus menguasai diri kamu.
2. Persekitaran
Faktor persekitaran amat mempengaruhi personaliti atau sikap seseorang. Jika dia dibesarkan dalam keluarga yang bahagia, nilai positif seperti kasih sayang, bertanggung jawab dan sopan santun akan membentuk akhlaknya. Namun jika individu membesar dalam suasana tidak sihat, contohnya keluarga huru-hara apabila ayah menghisap dadah dan sering memukul ibu serta anak-anak, situasi ini akan menyemai sikap dendam dan benci dalam diri individu. Lantaran, dia cenderung melepaskan perasaan kecewa dan marah yang sudah lama bersarang di hatinya.
3.Tekanan perasaan
Kemarahan amat berkait rapat dengan ketidakstabilan emosi. Seseorang yang tidak bahagia atau mempunyai masalah akan mengalami tekanan perasaan. Bagi mengatasi bebanan perasaan ini, mereka cenderung untuk meluahkan dengan cara yang tidak betul seperti memaki hamun serta menghempas barang.
4. Ego
Golongan yang mempunyai ego yang tinggi biasanya gagal mengawal emosi dengan baik. Mereka suka memerintah, membentak dan menengking seseorang. Mereka juga rasa puas apabila dapat membuat orang lain menderita atau sedih.
Solusi1.Ketahui perkara yang boleh mencetuskan kemarahan
Kamu seharusnya peka dengan perkara yang mencetuskan kemarahan teman. Elakkan topik perbualan atau situasi sensitif yang membuatkan emosi teman kamu terganggu. Misalnya jika teman kamu berbadan gempal, pastinya dia tidak suka jika ada sesiapa yang mempersendakan keadaan fizikalnya. Jadi, elakkan daripada bercakap tentang isu tersebut agar emosinya tidak tersinggung.
2. Fahami dirinya
Siasat latar belakang teman kamu. Dengan cara ini ia akan membantu kamu untuk mengenali dirinya dengan lebih dekat. Informasi yang kamu dapat bakal menjadi panduan agar persahabatan kamu dengannya berjalan lancar. Jika dia dibesarkan dalam keluarga yang bercerai-berai atau mempunyai konflik keluarga, jiwa mereka akan lebih sensitif.
3.Elak daripada berdebat/bertengkar
Jangan sesekali berdebat atau bertengkar dengan teman kamu ketika emosinya terganggu. Walaupun kamu berasa tidak puas hati, pendamkan seketika. Pertengkaran hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk, silap hari bulan persahabatan kalian boleh terputus gara-gara bertikam lidah.
4.Mendiamkan diri
Biarkan teman kamu melepaskan kemarahannya dan jangan menyampuk kerana dia akan berasa tercabar. Sebaik-baiknya kamu mendiamkan diri kerana orang yang sedang marah umpama api yang marak menyala. Kamu perlu memainkan peranan sebagai air dengan cara mendengar luahan emosinya dan mendiamkan diri agar ia dapat memadamkan kemarahannya.
.majalahremaja.
No comments:
Post a Comment
SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..