Kejadian itu hanya disedari pemilik premis yang datang untuk memulakan perniagaan seperti kebiasaan kira-kira jam 10 pagi.
Ketika membuka pintu utama kedai itu, pemilik tidak mengesyaki apa-apa sebalik terkejut selepas mendapati pintu bilik yang menempatkan dua peti berisi barangan kemas terkunci dari dalam.
Tanpa membuang masa, pemilik yang berketurunan Cina itu bertindak memecahkan pintu bilik itu bersama beberapa pekerjanya dan akhirnya terkejut selepas mendapati satu daripada dua peti kebal yang diperbuat daripada simen konkrit telah berlubang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Deputi Superintendan Beh Eng Lai berkata, pihaknya percaya perbuatan itu dilakukan perompak di antara jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi selepas semua kedai berdekatan menghentikan operasi perniagaan pada hari berkenaan.
“Kita yakin ia dilakukan lebih daripada dua perompak berdasarkan tindakan nekad mereka yang sanggup memecahkan dinding serta membawa pelbagai peralatan.
“Beberapa peralatan ditemui dalam kedai emas tersebut adalah dua batang kuku besi, dua unit lampu suluh dan seunit bateri kereta yang disyaki sebagai alat untuk memecahkan dinding dan peti,” katanya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan memecahkan pintu belakang sebuah kedai kain yang kosong selain menebuk lubang dinding sebelum memasuki sebuah kedai telekomunikasi yang terletak bersebelahan kedai emas itu.
“Sebaik berada dalam kedai telekomunikasi, penjenayah dipercayai telah menebuk sekali lagi dinding seterusnya masuk ke dalam sebuah bilik kedai emas yang menempatkan peti kebal.
“Kumpulan perompak juga turut memecah pintu besi sebelum menebuk satu lubang daripada dua peti kebal. Lubang yang ditebuk anggaran keluasan tangan itu dipercayai bagi memudahkan mereka menyeluk tangan ke dalam peti bagi mengeluarkan barangan kemas yang tersimpan di situ,” katanya kepada media di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebaik berjaya mendapat habuan kesemua suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang sebuah kedai yang kosong.
Hingga kini, katanya, pihak polis sedang mengumpul bukti bagi memburu suspek yang terlibat.
“Bagaimanapun jumlah kerugian setakat ini masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah atau premis dan mencuri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..