CERITA TERBARU

Tuesday, 10 January 2012

istimewa buat sahabat .juga kakak..!! @ IBU

 Hargai Pengorbanan Ibu

"Ibu… kaulah segalanya bagi kami. Tanpa dirimu, siapalah kami. Tiada sebarang sesuatu pun yang boleh mengantikan tempatmu ibu...

Sebagaimana yang diketahui, kedudukan ibu begitu tinggi nilai serta martabatnya pada pandangan Allah. Sepertimana kalam Allah yang terpateri di dalam Al-Qur’an yang berbunyi :“Dan TuhanMu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”(surah al-Isra’ : ayat 23). Begitu tinggi sanjungan dan istimewanya penghormatan Islam terhadap martabat dan kedudukan ibu. Tanpa ibu, siapalah kita. Semua makhluk mempunyai ibu. Tiada satu makhluk pun yang tidak mempunyai ibu hatta tumbuhan yang membiak melalui pertunasan pun membiak melalui induknya. Siapa induk itu? Induk itulah ibu. Kita pernah mendengar anak yang dilahirkan ke dunia ini tanpa ayah, sebagaimana kisah Nabi Allah, Nabi Isa a.s tetapi kita tidak pernah mendengar anak yang dilahirkan tanpa ibu. Maha Suci Allah. Muliakanlah ibu-ibu kami.Tanpa ibu, kehidupan kita langsung tidak mempunyai apa-apa.

Cuba kita telusuri kisah kehidupan anak-anak yatim piatu. Tragis sungguh hidup mereka tanpa ibu di sisi.Justeru, si ibulah insan yang paling banyak menanggung penderitaan demi kelangsungan hidup anaknya. Setiap tahap pertumbuhan dan pembesaran yang dilalui oleh seseorang anak itu turut juga dilalui oleh si ibu, pahit, manis, luka lara dan riang tawa. Setiap perasaan yang dirasai oleh si anak turut juga dirasai oleh si ibu. Begitulah naluri seorang insan yang bergelar ibu. Dari proses dalam kandungan, hingga melahirkan, membesarkan, mendidik sehingga dewasa dan boleh berdiri atas kaki sendiri, kita tetap masih memerlukan ibu. Begitu kuatnya ikatan ruh kasih sayang antara anak dan ibu. Tapi, apakah yang kita pernah lakukan untuk membalas jasa serta pengorbanan yang pernah dicurahkan oleh ibu kita? Tepuk dada, tanyalah iman.

Semasa mengandung, ibulah adalah insan kuat yang menanggung segala jenis penderitaan selama sembilan bulan demi kelangsungan hidup zuriat yang dikasihinya.Walaupun si ibu ini tahu betapa peritnya cabaran yang akan ditempuhinya, namun demi anak-anak tercinta semua itu ibarat paku-paku kecil atas sebatang jalan dan si ibu perlu mengutip setiap paku dan dalam proses pengutipan paku tersebut, kemungkinan besar si ibu terluka dan tercedera, namun demi untuk mencapai impiannya melihat anaknya hidup selesa dan selamat, si ibu sanggup mengorbankan seluruh hidupnya hatta nyawanya demi anak-anak. Nah, si anak! Apa yang pernah dilakukan oleh kita bagi membayar setiap detik kesengsaraan yang dilalui oleh ibu kita. Tidak ada satu pun harta serta barangan yang paling bernilai harganya di dunia ini boleh membayar setiap jerih perit si ibu. Sepertimana yang dinukilkan di dalam Al-Qur’an, “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya yang mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. (Dengan demikian) bersyukurlah kepadaKU dan kedua ibubapamu. Hanya kepada-KU tempat kembalimu.”(surah Luqman ayat,14)Maksud ayat berkenaan ialah memang wajib ke atas kita sebagai anak untuk menghargai pengorbanan ibu yang sangat besar nilainya hingga tidak terdaya bagi kita untuk membayar balik atau membalas kembali segala-galanya yang ibu korbankan untuk kita. Kesihatannya, keselamatannya, masanya, hartanya malah seluruh dirinya dan hidupnya untuk anak tercinta.

Persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anaknya untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan yang wajib perlu direnung setiap anak apakah mereka sudah menunaikan kewajipan terhadap ibunya.Dewasa ini, banyak kes yang kedengaran yang membuktikan ramai generasi muda hari ini semakin mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap ibubapa mereka. Contohnya di Jepun, antara salah satu syarat utama kenaikan pangkat atau gaji dikalangan kakitangan kerajaan adalah dinilai bagaimana mereka menjaga kebajikan kedua ibubapa mereka di kala usia senja mereka.Melihat situasi ini, jelaslah kepada kita bahawa kejatuhan nilai murni dikalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita Malaysia malah seluruh dunia amnya.

Generasi Muda tidak seharusnya melayani ibubapa mereka sebegitu. Adakah patut kita membalas jasa ibubapa yang melayan kita sejak kecil lagi ibarat menatang minyak yang penuh selama beberapa tahun, bersengkang mata sepanjang malam demi menjaga anak tersayang ketika sakit. Seluruh masa rehatnya dikorbankan untuk anak-anaknya.Tapi kita sebagai anak, membuktikan kasih sayang kita kepada ibu dengan memukul ibu, menghantar ibu ke pusat jagaan dan rumah orang tua, menghina serta mengherdik ibu di kala ibu dalam keadaan lemah dan tidak berupaya seperti masa dulu.Itukah yang patut dilakukan oleh seorang manusia yang bergelar anak? Adakah relevan pada pandangan insani, perbuatan yang baik dibalas dengan perbuatan buruk, madu diberi tuba dibalas, nikmat dikurnia, azab dirasa.Perlu diinsafi, kedudukan ibu sebagai insan yang tinggi kedudukan dan martabatnya sehingga Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu. Ini bermakna seseorang anak tidak akan dapat merasai nikmat syurga melainkan dengan keredhaan ibu. Sabda Rasulullah SAW yang lain berbunyi “ Keredhaan Allah itu terletak pada keredhaan kedua ibubapa kita”.

Demikian itu, jelaslah bagi kita, selama mana kita tidak diredhai oleh ibubapa selama itu juga, kita hidup dalam kemurkaan dan kederhakaan kita terhadap Maha Pencipta sepertimana kisah Alqamah pada zaman Rasulullah, kisah si Tanggang dan Malin kundang di Nusantara.Bukan harta benda bertimbun-timbun serta segunung emas yang si ibu itu mahukan agar jasa dan baktinya dikenang serta dibalas.Tapi, cukuplah bagi mereka sedikit perhatian dan belaian kasih daripada anak kesayangan mereka di saat usia senja mereka. Saat ini perlakuan orang tua akan kembali ke alam kanak-kanak, di mana mereka amat memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang sepertimana anak-anak kecil perlukan.

Perlakuan mereka, si ibubapa ini kadang-kadang membuatkan anak-anak yang sudah mengenali dunia ini terasa terbeban dan merasakan ibu ini menyusahkan mereka lalu mulalah timbul perasaan marah dan benci kepada ibu.Sedarkah kamu, anak-anak, siapa yang disampingmu ketika dirimu terasa disakiti, dicaci, dihina. Siapakah yang bersusah payah bangun di awal pagi menyediakan sarapan serta kelengkapan sekolah kamu dahulu? Siapa yang mengadaikan barangan kemas untuk dibuat biayaan kamu di institusi pengajian tinggi? Siapakah yang bersusah payah mencari duit untuk menampung perbelanjaan kahwinmu? Adakah insan itu sahabat karibmu di sekolah? Adakah insan itu kekasihmu yang baru beberapa bulan dan tahun kau bermadu kasih? Insan mulia ini tidak lain ialah ibu kamu.Siapakah ibu di hatimu anak-anak? Adakah insan ini yang hanya menyusahkan dan memalukan kamu di saat dirimu cemerlang, berjasa dan dikenali orang? Inikah tempat letaknya kedudukan ibu di hatimu anak-anak? Inikah nilai ibumu di hatimu anak-anak?Adakah pada hari ibu sahaja, kita patut menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap si ibu? Adakah pada hari ibu sahaja untuk kita mencium, memeluk mesra dan mengucapkan ucapan keramat “Terima kasih,ibu”.

Perlu kita muhasabah diri, bilakah kali terakhir kita menanyakan khabar berita dari ibu, bilakah kali terakhir kita mencium, memeluk mesra dan meminta maaf dari ibu? Tapi untuk insan lain, kita rela berkorban masa dan harta demi menjaga hati dan perasaan mereka. Tapi untuk ibu kita yang mengorbankan seluruh hidupnya untuk melihat kita selamat dunia dan akhirat, apa yang pernah kita lakukan untuk gembirakan hati si ibu ini.

Koreksilah dirimu anak-anak.“Di saat kau lena, dia berjaga...kau bersenang, dia bekerja...untukmu tiada terbatas...memberi, tidak mahu dibalas...ingin dibinanya untukmu kehidupan yang sempurna...punyai kekuatan jiwa...punyai maruah...leterannya dari rasa luhur...menegur sebelum terlanjur...itulah yang diwarisi...pesan ibu terpahat di hati...beringat-ingatlah...berpesan-pesan untuk kebaikan...marah bukan kebencian...tapi, tanda SAYANG...engkau semakin dewasa...berjiwa merdeka...Sedang dia semakin tua...membilang usia...di saat kau berjaya...dia tiada berdaya...semoga kau tak lupa...jasa bonda...

khas buat kakak yg mad kenali melalui fb...harap tabah menghadapi dugaan ini..

P/S: tazkiah buat akak sekelurga...
kenali kak ctnirani

No comments:

Post a Comment

SEBARANG KOMEN MAHUPUN KRITIKAN AMAT DIALU-ALUKAN..AGAR DAPAT KITA MEMPERBAIKI DIRI DIPENULISAN AKAN DATANG..

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
COPYRIGHT 2011@2012 all right reserved by muhammad yamaluddin@diari hatiku